Artikel

Idea Rusia Sertai Konfederasi Bola Sepak Asia Adalah Mengarut

Presiden Kehormat Kesatuan Bola Sepak Rusia (RFU), Vyacheslav Koloskov menyifatkan idea untuk membawa Rusia menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) adalah sesuatu yang mengarut.

Memetik laporan Insider, Koloskov yang merupakan bekas Naib Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut berkata idea peralihan menyertai badan induk AFC adalah satu perkara fantasi.

Beliau memberikan respon sedemikian selepas seorang wartawan sukan Rusia, Nobel Arustamyan melaporkan RFU sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas Rusia digantung daripada beraksi di pentas antarabangsa.

Vyacheslav Koloskov

Baca: FIFA Dan UEFA Menggantung Rusia Daripada Sebarang Pertandingan Antarabangsa

Dimaklumkan oleh Arustamyan menerusi saluran Telegram-nya, cadangan itu juga bagi ‘mengendurkan’ situasi bola sepak di Rusia dimana kelab-kelab bola sepak berpangkalan di negara berkenaan tidak boleh beraksi di pentas antarabangsa seperti Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Liga Europa.

Untuk makluman semua, Rusia digantung oleh UEFA serta FIFA daripada beraksi di pentas selepas kerajaan Rusia menceroboh negara jirannya, Ukraine bermula penghujung Februari lalu.

Tambah Arustamyan lagi, FIFA berkemungkinan akan mengenakan hukuman kepada RFU selama dua tahun atau menggantung tanpa sebarang tempoh yang ditetapkan.

Oleh demikian, untuk ‘melarikan diri’ daripada hukuman itu, Rusia yang mempunyai negara berkeluasan sekitar 17 juta km2 merentasi dari benua eropah sehingga ke asia boleh beralih menyertai AFC.

Dengan beralih kepada AFC, kelab-kelab bola sepak domestik Rusia dapat beraksi di pentas antarabangsa dengan menyertai saingan Liga Juara-Juara AFC mahupun Piala AFC.

Featured Image: FIFA World Cup 

komen