Pasangan beregu lelaki kidal, Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri meletakkan sasaran untuk menembusi kelompok ranking 50 terbaik dunia pada tahun ini, lapor akhbar tempatan berbahasa inggeris, New Straits Times.
Beregu yang mendapat julukan ‘Patatimo Boys’ dek kerana berasal dari Terengganu dan Kelantan masing-masing ini mencuri perhatian peminat badminton tanah air selepas mengejutkan beregu No.30 dunia, Christo Popov dan Toma Junior Popov pada pusingan pertama saingan Orleans Masters, Selasa lalu.
Dan kecemerlangan beregu berusia 19 tahun masing-masing ini diteruskan dengan kemaraan ke pusingan kedua, peringkat suku akhir, separuh akhir sehingga berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir dalam saingan berstatus Jelajah Super 100 BWF itu.
“Sejujurnya, kami tidak meletakkan jangkaan yang tinggi apabila menentang calon pilihan kejuaraan (Christo Popov-Toma Junior Popov) pada pusingan pertama.
“Bagaimanapun, kami tahu ianya berada dalam diri kami apabila kami tewaskan mereka. Kami sangat bangga dan gembira untuk mara sejauh ini.
Bagaimanapun, gandingan ini tidak dapat beraksi di pentas final apabila Haikal dimaklumkan dijangkiti Covid-19 dan lawan mereka, beregu Belanda, Ruben Jille-Ties van der Lecq diberikan kemenangan percuma sekaligus bergelar juara kategori beregu lelaki Orleans Masters 2022.
Baca: ‘Patatimo Boys’ Antara Yang Tersenarai Dalam Skuad Lelaki Sukan SEA 2021
“Sasaran kami tetap sama iaitu memecah masuk dalam kelompok (ranking) 50 terbaik dunia pada tahun ini. Kami juga dipilih untuk menyertai skuad Sukan SEA, harapnya, kami dapat mengekalkan prestasi ini di Vietnam bulan hadapan.” kata Arif seperti dipetik daripada portal akhbar tersebut.
Untuk makluman semua, kedua-dua pemain ini mula bergandingan bersama sejak di peringkat remaja lagi. Tahun lalu, Arif-Haikal mula beraksi sebagai pemain senior dan mengambil bahagian dalam beberapa saingan Gred 3 BWF di eropah.
Daripada lapan kejohanan yang disertai, Arif-Haikal berhasil meraih tiga kejuaraan, (Terbuka Austria, Kejohanan Antarabangsa Hellas dan Kejohanan Antarabangsa Ukraine) serta dua pingat perak selaku naib juara Kejohanan Antarabangsa Latvia dan Terbuka Scotland.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia