Artikel

Mintah Atau Tchetche Jadi Taruhan Penggempur Utama Terengganu Menentang Selangor?

Khidmat penyerang Liberia, Kpah Sherman yang telah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan sebelum ini tidak dapat digunakan oleh Terengganu FC ketika menentang Selangor FC.

Kerugian tersebut terpaksa ditanggung oleh skuad kendalian Nafuzi Zain ekoran pemain berusia 30 tahun itu dilayangkan kad merah ketika bertemu Sarawak United FC dalam saingan Liga Super, Ahad lalu.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak begitu meresahkan Nafuzi memandangkan skuad berpangkalan di pantai timur itu mempunyai dua lagi penyerang import yang boleh dipertaruhkan sebagai penggempur utama, malam esok.

“Kemungkinan Tchetche Kipre ataupun penyerang Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah bakal memikul tugas berkenaan, lagipun dua pemain itu sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Sebelum ini kita tidak turunkan Tchetche kerana taktikal,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar tempatan, Harian Metro.

Baca: Pertahanan Selangor Usaha Dapatkan ‘Clean Sheet’ Menentang Terengganu

Bercakap mengenai pasukan yang akan dihadapinya, Nafuzi sedar pasukannya akan turut menentang pasukan yang masih kebal daripada sebarang kekalahan setelah mengharungi tiga perlawanan.

Lebih-lebih lagi, skuad bimbingan Michael Feichtenbeiner itu masih segar dengan kejayaan menumpaskan Kedah Darul Aman FC (Kedah) 4-1 di halaman sendiri, Ahad lalu. 

“Bagi saya Selangor musim ini lebih mantap berbanding musim lalu, mereka belum tewas lagi dan pada setiap perlawanan mereka mampu menjaringkan gol, jadi sudah pasti liat buat anak buah saya untuk menundukkan skuad itu.

“Tapi kita akan merangka strategi terbaik untuk meneruskan momentum kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri buat kali pertama musim ini,

“Harap pertahanan dapat mengekang penyerang lawan daripada bergerak bebas terutama dalam kawasan penalti kerana kita tidak mahu bolos,” tambahnya lagi.

Sebagai rekod, Terengganu belum pernah tewas kepada Selangor dalam saingan Liga Super & Piala Malaysia sejak tahun 2019.

Featured Image: Terengganu FC

komen