Jaringan hatrik daripada penyerang veteran Sabah FC, Amri Yahyah serta satu jaringan daripada pemain kelahiran Korea, Park Tae-su menyerkat hasrat Kedah Darul Aman FC (Kedah) untuk memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada tangga pertama Liga Super.
Sebelum berlangsungnya perlawanan ini, Kedah berada di tangga kedua – berkongsi 12 mata dengan JDT – pendahulu liga. Sabah pula, di tangga ketiga dengan 9 mata. Kedah hanya memerlukan keputusan seri untuk membolehkannya mendahului saingan Liga Super namun keputusan sebaliknya yang berlaku.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas sebentar tadi, Amri yang berusia 41 tahun mencipta hatrik pertamanya pada musim ini dengan menjaringkan gol pada minit ke-50, ke-62 dan ke-71.
71' GOL | Amri Yahyah melengkapkan hatrik dengan melakukan "chip" dari sudut yang sukar!@SabahFCofficial 4-0 @kda_fc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/80WFbAGN7q
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 24, 2022
Baca: Pandai Berbahasa Melayu, Park Tae-su Turut Dipanggil ‘Karim’ Dalam Kalangan Rakan Sepasukan
Manakala jaringan daripada Park atau dikenali sabagai Karim pula hadir menerusi sepakan percuma pada minit ke-55. Tiada sebarang jaringan direkodkan oleh Kedah dan perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan 4-0 memihak kepada skuad The Rhinos.
Kemenangan ini bukan sahaja memberikan tiga mata buat Sabah malahan membolehkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini menduduki tangga kedua Liga Super untuk minggu ini.
Kedah yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak pula jatuh di tangga ketiga. Ketiga pasukan-pasukan iaitu JDT, Sabah dan Kedah berkongsi 12 mata namun dipisahkan dengan jumlah perbezaan gol.
Featured Image: Malaysian Football League