Liverpool Umum Aksi Pramusim Bertemu Crystal Palace di Singapura
April 27, 2022 Hafizuddin Omar

Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool mengumumkan satu lagi perlawanan pramusim menentang Crystal Palace dan ianya akan diadakan di National Stadium, Singapura.

Menurut makluman rasmi di laman sesawangnya, skuad The Reds bimbingan Jurgen Klopp akan berada di negara seberang tambak itu bermula 15 Julai (Jumaat) untuk beraksi dalam saingan Standard Chartered Singapore Trophy 2022.

Baca: Liverpool & Man Utd Berentap Di Stadium Rajamangala Julai Nanti – Harga Tiket Bermula Sekitar RM632

Keberadaan mereka di Singapura itu adalah tiga hari selepas mereka berhadapan Manchester United yang juga merupakan aksi pramusim di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand.

Sebagai rekod, Liverpool pernah berkunjung ke negara pulau terbabit sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2001, 2009 dan 2011. Ini juga merupakan kedatangan pertama Liverpool ke benua asia sejak tahun 2017.

Para peminat The Kops yang ingin turun menyaksikan persembahan pasukan kesayangan mereka di Singapura pada Julai kelak boleh mendapatkan tiket bermula pukul 10 pagi pada 17 Mei – waktu Singapura.

Komen