Kelayakan Piala Asia: Bahrain, Turkmenistan Uji Juara Piala AFF Sebelum Bertemu Malaysia Di SNBJ
May 17, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan kebangsaan yang berada di tangga ke-89 dan ke-134 dunia iaitu Bahrain dan Turkmenistan akan menguji juara Piala AFF 2020, Thailand sebelum turun beraksi menentang Malaysia dalam pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur.

‘Uji kaji’ Bahrain dan Turkmenistan bertemu Thailand di negara terbabit dilihat sebagai persiapan rapi oleh kedua-dua pasukan tersebut untuk menyesuaikan diri dengan cuaca serta corak permainan bola sepak di rantau asia tenggara sebelum beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Turkmenistan dijadualkan bertemu skuad Gajah Perang yang berada di ranking ke-111 dunia pada 27 Mei di Stadium SI SA KET, Sisasket manakala Bahrain pula akan turun menentang pasukan yang sama selang empat hari kemudian di Stadium BG Pathum, Bangkok. 

Baca: FAM Jual Tiket Kombo RM100 Bagi Enam Perlawanan Kelayakan Piala Asia di SNBJ

Kedua-dua pasukan disahkan bertemu Thailand selepas Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menghantar surat pengesahan yang turut mengiktiraf kedua-dua perlawanan ini sebagai Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) pada hari ini.

Untuk makluman semua, Bahrain dan Turkmenistan merupakan dua pasukan yang berada di dalam Kumpulan E bersama-sama Malaysia dan Bangladesh.

Sebagai perbandingan, Malaysia yang kini dibimbing oleh jurulatih kelahiran Korea, Kim Pan-gon membuat persediaan dengan menentang Brunei Darussalam (ranking ke-191) dan Hong-Kong (ranking ke-147) pada 27 Mei dan 1 Jun kelak.

Sebagai tambahan, di pusingan akhir kelayakan ini, kesemua 24 pasukan daripada enam kumpulan akan merebut 11 slot terakhir untuk mara ke saingan Piala Asia 2023. 11 slot itu akan diberikan kepada juara setiap kumpulan serta lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.

Featured Image: Changsuek

Komen