Skuad Vietnam bawah 23 tahun (B-23) bimbingan ketua jurulatih baharu, Gong Oh-kyun akan mengharungi kejohanan Piala Asia B-23 yang bermula 1 hingga 19 Jun kelak dengan mempertaruhkan 65% skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2021.
Ketua jurulatih baharu mereka ini hadir bagi menggantikan jurulatih kelahiran Korea, Park Hang-seo yang tidak lagi melatih skuad B-23 mereka kerana mahu memfokuskan kepada skuad senior sahaja selepas daripada ini.
Menerusi satu perkongsian oleh badan induk bola sepak negara berkenaan semalam, Coach Oh-kyun mengekalkan 13 pemain yang membawa Vietnam memenangi pingat emas dengan menumpaskan Thailand dalam acara bola sepak lelaki, Ahad lalu.
Manakala, 12 pemain baharu disenaraikan untuk melengkapkan senarai 25 pemain. Penambahan pemain dilakukan di semua posisi yang merangkumi penjaga gol (1 orang), pertahanan (3 orang), pemain tengah (4 orang) serta penyerang (4 orang).
Untuk pengetahuan semua, kesemua 25 pemain Vietnam ini datangnya daripada saingan liga domestik mereka sendiri.
Dalam pengumuman yang sama, Coach Oh-kyun yang juga kelahiran Korea akan membawa skuad ini menjalani latihan pusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Di sana, mereka dijadualkan turun beraksi dalam satu perlawanan persahabatan menentang skuad UAE B-23 pada 28 Mei.
Baca: Pemain LaLiga, Lee Kang-In Disenaraikan Juara Bertahan Republik Korea
Selepas daripada itu, barulah mereka akan terbang ke Tashkent – ibu negara Uzbekistan – untuk menyertai saingan Kumpulan C, Piala Asia B-23 yang terdiri daripada Republik Korea, Thailand dan Malaysia.
Untuk makluman semua, Vietnam akan memulakan kempen peringkat kumpulan ini dengan menentang Thailand (2 Jun) diikuti dengan Republik Korea (5 Jun) dan akhir sekali Malaysia (8 Jun).
Featured Image: Vietnamese Football & PSSI