Saingan bola jaring kebangsaan edisi kedua, Netball Super League (NSL) 2022 yang akan membuka tirainya pada 3 Jun nanti tampil dengan beberapa pembaharuan.
Menurut makluman daripada Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), YB Alwiyah Talib dan Ketua Pembangunan Perniagaan Astro Arena, Preman Parameswaran dalam majlis pelancaran semalam, terdapat empat pembaharuan dilaksanakan dalam saingan kali ini.
Antaranya, saingan yang melibatkan lapan pasukan ini akan dijalankan dengan format liga satu pusingan atau “single round robin” dimana setiap pasukan akan menentang dengan semua pasukan yang ada.
Baca: Aplikasi Penstriman Sooka Jadi Penaja Utama Netball Super League 2022
Keduanya, kejohanan pada kali ini membenarkan penyertaan dua pemain import. Difahamkan, kehadiran pemain import ini bukan sahaja dapat memperkuatkan pasukan bahkan turut bertujuan untuk menarik penonton daripada negara luar untuk melihat pemain mereka beraksi di kancah NSL ini.
Selain itu,hadiah bagi pasukan yang menjuarai saingan ini turut ditingkatkan sebanyak 100% menjadi RM20,000. Sebagai perbandingan, hadiah yang dimenangi oleh KL Wildcats pada edisi sulung tahun lalu adalah berjumlah RM10,000.
Akhir sekali, memandangkan saingan NSL pada kali ini dijalankan dengan format “single round robin”, dua pasukan tercorot di penghujung musim kelak akan disingkirkan daripada saingan NSL 2023 kelak.
Namun begitu, Alwiyah berkata, pihak PBJM masih belum menetapkan formula atau mekanisme khusus dalam memilih dua pasukan baharu yang akan dipromosikan ke saingan NSL 2023 kelak. Berkemungkinan besar ianya akan diberikan kepada pasukan-pasukan yang sering mengambil bahagian dalam saingan anjuran badan induk tersebut.
Featured Image: Kaki Jersi Dot Com