Artikel

Kelayakan Piala Asia: Filipina Kendalian Thomas Dooley Catat Kemenangan Pertama Kumpulan B

Skuad kebangsaan Filipina yang dibimbing oleh bekas jurulatih Sri Pahang, Thomas Dooley berhasil merekodkan kemenangan pertama dalam Kumpulan B bagi saingan pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023.

Lebih manis, pasukan yang berjulukan The Azkals itu meraih kemenangan 1-0 ke atas Mongolia dalam perlawanan yang berlangsung di halaman lawannya sendiri iaitu Stadium MFF, sebentar tadi.

Jaringan tunggal Filipina itu pula dihasilkan oleh penyerang kacukan Jerman-Filipina, Gerrit Holtmann menerusi satu rembatan padu dari luar kotak penalti di penghujung perlawanan iaitu minit 90+3’.

Baca: Bekas Jurulatih Sri Pahang Kembali Kemudi Skuad Kebangsaan Filipina

Kemenangan itu membolehkan Filipina meraih tiga mata pertamanya dalam saingan kelayakan ini. Untuk makluman, perlawanan sulung mereka menentang Yaman berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan. 

Justeru, selepas dua perlawanan yang telah dilalui, mereka berhasil mengumpul empat.

Sebagai tambahan, terdapat dua pemain Liga Super Malaysia turut beraksi menyumbang kepada kemenangan skuad Filipina ini. Dua pemain tersebut ialah Bienvenido Maranon (Johor Darul Ta’zim) dan Manuel Ott (Terengganu FC). Manakala penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza pula berada di bangku simpanan.

Perlawanan seterusnya dan terakhir, Filipina akan bertemu pasukan asia barat, Palestin pada 14 Jun kelak. Perlawanan ini akan menjadi penentuan samada mereka dapat mengulangi pencapaian pada tahun 2018 yang lalu – mara ke saingan Piala Asia 2019 – atau tidak.

Featured Image: The Azkals

komen