Malaysia Berada Di Ranking 147 Dunia Selepas Layak Ke Saingan Piala Asia 2023
June 15, 2022 Hafizuddin Omar

Kiraan tidak rasmi ranking bola sepak lelaki dunia menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan berhasil memperbaiki kedudukannya dengan ketara selepas berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023.

Sebelum bermulanya pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia berada di ranking 154 dunia. Namun, menurut perkongsian Footy Rankings, Malaysia kini berada di tangga 147 dunia selepas merekodkan kemenangan ke atas Turkmenistan dan Bangladesh dan kalah kepada Bahrain dalam saingan peringkat Kumpulan E.

Baca: Harimau Malaya Mara Ke Saingan Piala Asia Secara Merit Selepas 42 Tahun

Pada saat ini, Malaysia yang berjulukan Harimau Malaya mempunyai 1057.54 mata secara keseluruhan. Mata tersebut dimiliki oleh skuad bimbingan Kim Pan-gon selepas merekodkan kemenangan 4-1 yang memberikan tambahan 8.85 mata dalam perlawanan akhir menentang Bangladesh, semalam.

Kedudukan ranking ini dikira selepas tamatnya keseluruhan pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 melibatkan Kumpulan A, B, C, D, E dan F pada awal pagi tadi.

Bagaimanapun, sekali lagi diingatkan, kedudukan ranking ini adalah kiraan tidak rasmi daripada akaun laman sosial yang memberikan perkembangan terkini mengenai ranking pasukan-pasukan bola sepak asia.

Sebagai tambahan, kiraan rasmi daripada badan induk, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan dikemaskini dan dikeluarkan pada 23 Jun kelak.

Featured Image: Syamil Rosli | PFA Malaysia

Komen