Pemain Red Star Belgrade, Omar Raiyan Dipanggil Sertai Skuad Malaysia B-19
June 22, 2022 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19), Hassan Sazali Mohd Waras telah memanggil 26 pemain bagi menyertai kem latihan pusat fasa kedua sebagai persiapan menjelang Kejuaraan B-19 AFF 2022.

Untuk makluman semua, saingan ini akan bermula 2 hingga 15 Julai dan akan berlangsung di dua buah venue iaitu Stadium Madya GBK, Jakarta dan Stadium Patriot, Bekasi.

Menerusi siaran media di laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, satu perkara menarik dapat diperhatikan apabila seorang pemain yang beraksi di Serbia bersama Red Star Belgrade, Omar Raiyan Kama Azlan disenaraikan.

Baca: Safawi Idola Pemain Remaja Red Star Belgrade, Omar Raiyan

Manakala baki 25 individu lagi terdiri daripada pemain yang beraksi bersama beberapa buah pasukan di dalam saingan tempatan. 

Pecahannya adalah sembilan daripadanya merupakan pemain Selangor 2, enam daripadanya campuran daripada pasukan JDT II dan JDT III, empat pemain Skuad Projek FAM-MSN, tiga pemain AMD B-17 serta seorang pemain daripada Kuala Lumpur City, Sabah FC dan PJ City FC masing-masing.

Untuk pengetahuan semua, di kejohanan ini, Malaysia B-19 telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Laos, Timor Leste, Kemboja dan Singapura.

Sementara itu, Kumpulan A pula terdiri daripada tuan rumah, Indonesia serta Myanmar, Vietnam, Thailand, Brunei Darussalam dan Filipina.

Featured Image: Instagram Omar Azlan

Komen