Pasukan yang beraksi dalam kancah AFC Champions League (ACL), Johor Darul Ta’zim (JDT) memperkenalkan pemain baharunya – bekas pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City), Daniel Ting menerusi satu klip video pengenalan pemain, pada hari ini.
Klip video berdurasi 32 saat yang dimuat naik di pelbagai platform media sosial milik skuad Harimau Selatan tersebut memaparkan pemain kacukan England-Malaysia berusia 29 tahun menaiki limousine dan memasuki Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Dalam klip video itu juga, JDT mendedahkan Daniel akan menyarung jersi No.33 – nombor yang ditinggalkan oleh pertahanan import, Mauricio dos Santos Nascimento yang mengumumkan meninggalkan skuad Harimau Selatan, pagi tadi.
WELCOME HOME! 🔵🔴#DanielTing#NewSigning pic.twitter.com/F924zohCoz
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) June 27, 2022
Muat naik itu secara langsungnya menjadikan Daniel kembali beraksi bersama skuad Harimau Selatan buat kali kedua bermula saat ini. Untuk makluman, Daniel pernah sudah pernah menyertai pasukan simpanan, JDT II pada penghujung tahun 2016.
Dengan kemasukan Daniel, JDT secara langsungnya mempunyai dua bek kiri berdarah campuran termasuk pemain sedia adanya, La’Vere Corbin Ong.
Untuk makluman semua, musim lalu, Daniel menampilkan prestasi yang cukup cemerlang bersama skuad ibu kota kendalian Bojan Hodak dengan membantu KL City menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam serta muncul juara Piala Malaysia 2021.
Bagaimanapun, ketika tempoh pramusim sebelum berlangsungnya saingan Liga Malaysia 2022, kem KL City memaklumkan Daniel mempunyai masalah peribadi dan tidak dapat menyertai pasukan pada ketika itu.
Dan pada Mac lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad mengesahkan kelahiran Cheshire, England ini dengan rasminya berpisah dengan KL City sekaligus menjadi pemain bebas (free agent).
Featured Image: Malaysian Football League