Artikel

Kejuaraan B-19 AFF: Separuh Akhir Sasaran Diletakkan FAM Buat Skuad Negara

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran mara ke peringkat separuh akhir buat skuad negara yang akan beraksi dalam saingan Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) AFF kelak.

Perkara tersebut disampaikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin selepas bertemu para pemain skuad B-19 negara serta skuad senior wanita kebangsaan, Malayan Tigress semalam.

“Kita meletakkan sasaran pemain B-19 untuk ke separuh akhir dan selepas itu saya mengharapkan pemain mampu ke final,” katanya seperti dikongsikan di platform laman sosial badan induk terbabit.

Baca: Pemain Red Star Belgrade, Omar Raiyan Dipanggil Sertai Skuad Malaysia B-19

Untuk makluman semua, saingan yang akan berlangsung bermula 2 hingga 15 Julai ini menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Laos, Timor Leste, Kemboja dan Singapura.

Sementara itu, Kumpulan A pula terdiri daripada pasukan tuan rumah merangkap Indonesia bersama-sama Myanmar, Vietnam, Thailand, Brunei Darussalam dan Filipina.

Sebagai rekod, kali terakhir dan julung kalinya Malaysia merangkul kejuaraan dalam saingan ini adalah pada edisi tahun 2018. Malaysia mengesahkan kejuaraan selepas berjaya menumpaskan Myanmar dengan keputusan 4-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen