Paul Pogba Kembali Ke Juventus Dengan Jersi Bernombor 10
July 12, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain skuad kebangsaan Perancis, Paul Pogba kembali menyertai Juventus – pasukan yang beraksi dalam saingan Serie A – secara rasminya.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu diperkenalkan semula sebagai pemain skuad Bianconeri menerusi makluman di laman sesawang rasmi dan pelbagai platform media sosial kelab itu, semalam.

Dalam satu video pengenalan, Pogba turut didedahkan diberikan jersi bernombor 10 – jersi yang disarungnya pada musim terakhir sebelum berpindah ke Manchester United – untuk digunakannya pada musim ini.

Baca: Pogba Diumumkan Sebagai Duta Platform Pelaburan Atas Talian Islamik, Wahed Invest

Untuk makluman semua, Pogba berhasil membuat 177 penampilan dan merekodkan 34 gol serta 40 “assist” semasa beraksi buat pertama kali bersama Juventus dari tahun 2012 hingga 2016.

Angka-angka tersebut telah membolehkannya menjulang beberapa gelaran bersama Juventus seperti empat kali juara Serie A, dua kali juara Coppa dan dua trofi Supercoppa Italiana.

Sebagai tambahan, Pogba kembali menyertai Juventus selepas kontraknya bersama Manchester United tamat pada 30 Jun lalu dan tidak dilanjutkan.

Ketika berada di fasa akhir kontraknya bersama skuad Red Devils, dia turut dikaitkan dengan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain serta seteru setempat, Manchester City.

Featured Image: Juventus

Komen