Artikel

Mesut Ozil Berpisah Dengan Fenerbahce, Kini Berstatus Ejen Bebas

Bekas pemain tengah skuad kebangsaan Jerman, Mesut Ozil kini tidak terikat dengan mana-mana kelab serta bergelar ejen bebas (free agent).

Ianya berikutan pemain berusia 33 tahun ini dilaporkan oleh beberapa agensi media di Turki  telah berpisah dengan kelabnya, Fenerbahce secara persetujuan bersama, semalam.

Untuk makluman semua, Fenerbahce mengumumkan menggugurkan Ozil daripada skuadnya pada penghujung Mac lalu tanpa sebarang penjelasan kepada umum.

Selain daripada tidak dapat beraksi ekoran pengguguran tersebut, Ozil juga tidak dibenarkan menyertai latihan rasmi pasukan utama Fenerbahce bersama rakan sepasukannya yang lain. 

Difahamkan, menurut satu laporan yang lain, pengguguran Ozil itu berpunca daripada insiden pertengkarannya bersama ketua jurulatih sementara Fenerbahce pada ketika itu, Ismail Kartal.

Namun begitu, setelah hadirnya ketua jurulatih yang baharu, Jorge Jesus, sebuah saluran televisyen di Turki, NTV Spor melaporkan Ozil tidak berada dalam perancangannya untuk musim baharu kelak.

Pada masa yang sama, laporan itu turut menyatakan Ozil sedang berunding dengan sebuah kelab lain yang turut berpangkalan di Istanbul iaitu Istanbul Basaksehir – pasukan yang menamatkan saingan Superlig di tangga keempat, musim lalu.

Baca: 5 Perkara Menarik Mengenai Pasukan Yang Mengalahkan Man Utd, Istanbul Basaksehir

Malahan terdapat juga khabar angin tentang kebarangkalian Ozil berpindah ke kancah bola sepak Amerika Syarikat, Major League Soccer (MLS).

Sebagai tambahan, Ozil diumumkan menyertai Fenerbahce pada awal tahun 2021 yang lalu setelah berpisah dengan Arsenal. Sepanjang bersama Fenerbahce, dia sempat melakukan 36 penampilan, menjaringkan 8 gol serta mencerak 3 “assist”.

Featured Image: Fenerbahce

komen