Pogba Hadapi Kesukaran Dengan Man Utd Tukar Jurulatih Setiap Tahun
July 13, 2022 Hafizuddin Omar

Pertukaran jurulatih demi jurulatih Manchester United (Man Utd) telah membuatkan pemain tengah, Paul Pogba menghadapi kesukaran bermain di sana.

Namun begitu, bukan perkara itu sahaja membuatkannya menghadapi kesukaran ketika bersama skuad Red Devils yang disertainya pada Ogos 2016.

Memetik laporan CNA, pemain skuad kebangsaan Perancis ini juga turut mengketengahkan isu dirinya dirundung kecederaan termasuk kekangan mental yang menyebabkannya dilihat kurang berjaya bersama kelab berkenaan. 

Baca: Paul Pogba Kembali Ke Juventus Dengan Jersi Bernombor 10

“(Man Utd) menukar jurulatih setiap tahun amat sukar – ini merupakan aspek yang sukar buat saya. Kemudiannya, terdapat beberapa kecederaan, tetapi saya fikir ia juga melibatkan mental – dapat bermain dan tidak bermain membuat anda hilang rentak.

“Sedikit (masalah) daripada kesemua perkara ini: jurulatih, pasukan, posisi. Semua perkara ini telah mengekang saya sedikit sebanyak.

“Bagaimanapun, sekarang, saya telah meninggalkan (Man Utd) dan kamu akan melihat (versi) Paul yang lain. Saya boleh lakukan lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu.” katanya dalam satu sidang media di Itali selepas bergelar pemain Juventus buat kali kedua.

Untuk makluman semua, sejak Pogba menyertai skuad Red Devils, pemain skuad kebangsaan Perancis ini telah beraksi di bawah empat jurulatih atau pengurus termasuk dua daripadanya berstatus sementara.

Keempat-empat jurulatih atau pengurus terbabit ialah Jose Mourinho (2016-2018), Ole Gunnar Solkjaer (2018-2021), Michael Carrick (2021) dan Ralf Ragnick (2021-2022).

Featured Image: Facebook Paul Pogba

Komen