Penstrukturan baharu Liga Super 2023 menyaksikan setiap pasukan mempunyai peluang sama rata untuk memiliki 9 pemain import berbanding 5 pemain pada ketika ini.
Sebelum ini, kelebihan mempunyai koleksi 9 pemain import ini hanya dapat dinikmati pasukan-pasukan yang mempunyai “feeder club” atau “reserved team” seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu dan Selangor.
Pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan pembaharuan tersebut selepas daripada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ke-3, pada hari ini.
Baca: 18 Pasukan Bertanding Dalam Saingan Liga Super 2023 & Liga Simpanan Diperkenalkan
Namun begitu, MFL menetapkan hanya 6 daripada 9 pemain boleh didaftarkan oleh setiap pasukan pada hari perlawanan (matchday squad). Untuk makluman, kuota enam pemain ini selari dengan ketetapan baharu yang dimaklumkan oleh badan induk bola sepak benua asia, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Akan tetapi, MFL tetap hanya membenarkan lima pemain import sahaja bermula dalam kesebelasan utama manakala satu lagi pemain perlu bermula daripada bangku simpanan.
Sementara itu, penggunaan kuota 3 pemain import bebas, 1 pemain import asia serta 1 pemain import ASEAN di atas padang masih dikekalkan oleh MFL pada musim hadapan.
Pada masa yang sama, dengan penambahan kuota pemain import ini, MFL turut menasihatkan, penggunaan pemain import tidak diwajibkan dan ianya bergantung kepada kesesuaian dan percaturam pasukan masing-masing.
Featured Image: MFL