Norizam: Lebih Adil Untuk Semua Pasukan, Nak Pakai 9 Import Atau Tak Terpulang
July 21, 2022 Hafizuddin Omar

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman nampaknya menyambut baik penstrukturan Liga Super yang akan ditandingi 18 buah pasukan serta beberapa pembaharuan baharu yang dibawakan Malaysian Football League (MFL).

Ini termasuk dengan pengenalan pertambahan kuota pemain import yang membolehkan semua pasukan mendaftarkan 9 pemain asing bermula saingan musim hadapan.

“(Pertambahan pemain import) lebih adil untuk pasukan. Nak pakai import 9 (pemain) atau tak terpulang. Kita di Kelantan akan ambil (pemain-pemain) import dari pasukan Thailand atau negara-negara asia yang punya pemain muda.” 

“Insya-Allah boleh dapat harga bawah 2,000 dolar Amerika Syarikat.” katanya menjawab soalan daripada seorang penyokong di laman sosialnya.

Baca – Liga Super 2023: Kini, Semua Pasukan Boleh Miliki 9 Pemain Import

Sebelum ini, kelebihan untuk mendaftarkan 9 pemain import ini hanya dimiliki oleh pasukan-pasukan yang mempunyai feeder club atau reserved team seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu dan Selangor.

Pada masa yang sama, MFL turut mengumumkan penubuhan sebuah saingan untuk pembangunan pemain-pemain bawah 23 tahun (B-23) iaitu Liga Simpanan.

Dengan pengumuman ini, setiap pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Super dikehendaki untuk mengadakan pasukan B-23 masing-masing untuk beraksi dalam kancah ini.

Perkara itu turut disokong oleh Norizam dan ianya tidak dilihat menjadi satu bebanan buatnya. Beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan turut mendedahkan perancangan awalnya untuk menggunakan khidmat pemain-pemain skuad Piala Presiden (pemain bawah 21 tahun) untuk dibariskan di dalam skuad yang akan beraksi dalam saingan Liga Simpanan kelak.

Secara keseluruhannya, Norizam yang mengambil alih pemilikan skuad berjulukan The Red Warriors bermula sekitar September 2020 sangat positif dengan penstrukturan baharu ini terutamanya dengan peningkatan perlawanan kepada 34 semusim.

Baginya, peningkatan jumlah perlawanan ini dijangkan membuatkan penaja-penaja berebut untuk membuat tajaan kerana peningkatan paparan jenama secara langsung meningkatkan pendapatan. 

Sebagai tambahan, di dalam hantaran di laman sosialnya, Norizam turut mensasarkan Kelantan FC mampu menjana pendapatan RM8 juta hingga RM10 juta sekaligus dapat mencatatkan keuntungan.

Featured Image: Kelantan FC

Komen