Artikel

Pemain Baharu Juventus, Pogba Alami Kecederaan Lutut – Terlepas Aksi Pramusim 

Kelab yang beraksi dalam kancah Serie A, Juventus terpaksa melupakan seketika khidmat pemain baharu yang ditandatanganinya baru-baru ini, Paul Pogba.

Ini berikutan pemain tengah skuad kebangsaan Perancis merangkap bekas pemain Manchester United itu dilaporkan oleh kelabnya mengalami kecederaan lutut.

“Berikutan keluhan kesakitan di lutut kanan, Paul Pogba dibawa menjalani pemeriksaan radiologi yang mendedahkan dia mengalami kecederaan pada lateral meniscus.”

“Dalam beberapa jam berikutnya dia akan bertemu dengan pakar ortopedik.  Sehubungan itu, bagi meneruskan rawatannya, dia tidak akan mengikuti perjalanan ke Dallas.” tulis kenyataan Juventus di laman sesawangnya.

Baca: Paul Pogba Kembali Ke Juventus Dengan Jersi Bernombor 10

Pada masa yang sama, kelabnya tidak menyatakan bila pemain tengah berusia 29 tahun ini dapat kembali beraksi di atas. Pastinya ia bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami.

Dalam tempoh pramusim ini, Pogba telah berhasil melakukan penampilan semulanya bersama Juventus ketika menentang Chivas Guadalajara di Stadium Allegiant, Las Vegas pada Sabtu lalu.

Dia bermula dalam kesebelasan utama bersama-sama beberapa pemain baharu yang ditandatangani Juventus pada jendela perpindahan kali ini seperti Angel Di Maria, Gleison Bremer dan Federico Gatti selama 45 minit.

Namun dengan perkembangan semasa melibatkan Pogba yang mengalami kecederaan di lututnya itu, dia akan terlepas perlawanan pramusim menentang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona di Dallas, pada hari esok.

Selain itu, aksi pramusim menentang satu lagi kelab gergasi Sepanyol iaitu Real Madrid di Los Angeles selang empat hari kemudian berkemungkinan besar turut tidak disertainya.

Featured Image: Juventus

komen