Artikel

AUG 2022: Kuartet Wanita Rangkul Emas, Lelaki Pungut Perak Acara 4x100m

Kuartet wanita negara yang diketuai oleh Olimpian, Azreen Nabila Alias muncul yang terpantas dalam acara 4×100 meter (m) sekaligus menyumbangkan satu lagi pingat emas buat kontinjen negara di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Dalam perlumbaan tersebut, Azreen (UPM) yang bergandingan dengan Nor Sarah Adi (UPM), Darshini K Murugan (UPM) serta Nur Aishah Rofina Aling (UMS) muncul yang pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 47.18 saat (s).

Ia membolehkan mereka mengatasi kuartet Thailand merangkap tuan rumah serta Laos yang menamatkan larian dengan rekod masa 47.80s dan 50.89s masing-masing yang berlangsung pada Jumaat lalu di Stadium Sisaket, Ubon Ratchatani.

Terdahulu, Azreen dan Nor Sarah telah menyumbang pingat emas dan perak masing-masing dalam acara pecut 100m yang berlangsung sekitar dua hari sebelumnya.

Sementara itu, kuartet lelaki negara, diketuai oleh Jonathan Nyepa (UPM) bersama-sama Muhammad Yusridzwan Danial Yusof (UPSI), Mohamad Raimi Mustaffa Kamal (UNIMAP), Mohd Rizzua Haizad Muhamad (UPM) berhasil membawa pulang pingat perak daripada acara yang sama bagi kategori lelaki.

Mereka tidak dapat membutirkan pingat emas ekoran menamatkan perlumbaan di belakang kuartet Thailand yang menamatkan larian dalam tempoh masa 40.43 saat iaitu 0.31 saat lebih laju berbanding kuartet negara.

Manakala pingat gangsa pula berhasil dipungut oleh kuartet Laos yang menghabiskan perlumbaan dengan catatan masa 41.83 saat.

Featured Image: Sukan IPT

komen