PM Beri Dana RM1 Juta Untuk Pesaka, Al Jufferi Jamari Bersara Secara Rasmi
August 1, 2022 Hafizuddin Omar

Kerajaan mengumumkan memberi dana sebanyak RM1 juta kepada badan induk seni silat negara, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Pengumuman pemberian dana tersebut diucapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, semalam.

Difahamkan pemberian dana tersebut sebagai menghargai dan membantu badan induk tersebut mengembangkan lagi seni pertahanan diri ini di pentas antarabangsa.

“Bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh anak-anak silat serta bagi membantu Pesaka mengembangkan seni silat di persada dunia, pada malam ini dengan sukacitanya saya mengumumkan dana sebanyak RM1 juta kepada Pesaka.” katanya.

Baca – Kejuaraan Pencak Silat Dunia: Al Jufferi Juara Kali Ke-4, Malaysia Kutip 7 Emas

Sementara itu, dalam satu perkembangan yang lain, jaguh silat negara, Mohd. Al Jufferi Jamari mengumumkan persaraannya selaku atlet silat negara sejurus memenangi pingat emas dalam perlawanan akhir bagi Kelas F (70-75kg).

Kemenangan tersebut dicapai atlet kelahiran Pahang ini selepas menumpaskan pesilat negara jiran tetangga dari Indonesia, Iqbal Chandra Pratama.

“Saya dapat atau tidak dapat pingat emas, saya tetap dengan keputusan saya iaitu akan menamatkan karier saya selaku atlet silat negara yang hampir 15 tahun saya berkecimpung dalam dunia ini kerana saya nak (beri) lebih perhatian atau rehat bersama keluarga,” katanya dalam sidang media selepas pertarungan tersebut.

Untuk makluman semua, ini merupakan pingat emas keempat yang diraihnya dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia. Sebelum ini, Al Jufferi telah meraih gelaran ini dalam edisi yang berlangsung di Chiang Rai, Thailand (2012), Phuket, Thailand (2015) dan Bali, Indonesia (2016).

Manakala dalam temasya dwitahunan asia tenggara, Sukan SEA, pesilat berusia 30 tahun ini turut pernah merangkul empat pingat emas dalam edisi di Indonesia (2011), Myanmar (2013), Singapura (2016) dan Kuala Lumpur (2017). 

Featured Image: Ismail Sabri Facebook & One Silat

Komen