MB Mahu Litar Lumba Sungai Petani Siap Dalam Masa 6 Bulan 
August 17, 2022 Hafizuddin Omar

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor mahu litar lumba yang akan dibina di Sungai Petani disiapkan dalam tempoh enam bulan.

Perkara tersebut disampaikan oleh Sanusi kepada Pengasas dan Penasihat Open Road World Sdn Bhd, Dato’ David Goh dalam Majlis Menandatangani Perjanjian & Pelancaran Litar Lumba Sungai Petani, baru-baru ini.

“Saya bagitau kepada Dato David Goh, dalam tempoh enam bulan saya nak lumba atas trek ini.” katanya seperti dipetik daripada laman Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA).

Baca: Sungai Petani Bakal Mempunyai Sebuah Litar Lumba Antarabangsa

Menurut Sanusi, kerajaan negeri akan menyempurnakan projek yang sudah lama tertangguh ini demi aspirasi anak-anak muda negeri Kedah sekali gus memajukan sukan permotoran negara.

Kerajaan negeri masih berminat dan bersetuju untuk meneruskan pelan perancangan akhir dengan meningkatkan taraf kepada Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang mana akan dilengkapi dengan komponen lain seperti kawasan komersial, pusat pameran, pusat jualan dan penyelenggaraan kenderaan.

Tambahnya lagi, Litar Lumba Rakyat yang dinaiktaraf ke Litar Lumba Antarabangsa ini disebabkan litar yang dibina perlu disediakan dengan trek dan fasiliti perlumbaan yang selamat, profesional dan konduksif serta diselenggara dengan baik. 

Untuk makluman semua, litar ini akan dibina di atas tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) berkeluasan 150 ekar termasuk komponen lain yang berkaitan.

Featured Image: UPDA

Komen