Pemilik Kelantan FC Bercadang Sewa Stadium Baharu Kelantan Bagi Tempoh Masa Panjang
August 19, 2022 Hafizuddin Omar

Negeri Kelantan bakal membina sebuah stadium baharu di dalam Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh yang mana bakal menjadi venue bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kelak.

Difahamkan, stadium pelbagai guna yang mempunyai padang bola sepak dan trek olahraga tersebut mampu menampung kapasiti seramai 20,000 penonton.

Dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bercadang untuk menyewa stadium baharu tersebut bagi tempoh jangka masa panjang dengan tawaran untuk menanggung kos penyelenggaraan. 

“Saya dengar cerita Kerajaan Negeri Kelantan nak buat stadium baru. Ianya suatu berita baik.”

“Saya ingat kalau ada rezeki nak mencadangkan stadium baru nanti disiapkan oleh Kerajaan Negeri dan penyelenggaraan dikelolakan oleh TRW Kelantan FC.”

Baca: Kompleks Sukan Bukit Merbau Bakal Miliki Stadium Berkapasiti 20,000 Penonton – Peruntukan RM256 Juta

“Kita boleh tiru cara Inter Milan atau Manchester City yang mana stadium milik kerajaan disewakan jangka masa panjang.”

“Kedua-dua pihak menang-menang dimana kelab jimat kos, manakala kerajaan negeri dapat pendapatan melalui sewa jangka masa panjang. Harta asset stadium kekal milik kerajaan.” katanya menerusi satu hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Ahli perniagaan kelahiran Johor itu menyatakan cadangan tersebut selepas menjelaskan mengenai beberapa kelab-kelab bola terkenal dunia yang mempunyai nilai yang besar walaupun tidak mempunyai aset sendiri seperti stadium dan menyewa daripada pihak kerajaan tempatan.

Antara kelab-kelab yang dinyatakan ialah Manchester City, Chelsea, Newcastle, AS Roma dan Inter Milan.

Pada masa yang sama, Norizam juga tidak menolak untuk memajak stadium sedia ada yang digunakan pada ketika ini, Stadium Sultan Muhammad IV berbanding stadium baharu di Pasir Puteh itu.

Beliau bersetuju dengan pendapat seorang individu yang meninggalkan komen untuk mengubah suai stadium tersebut khusus untuk kegunaan bola sepak termasuk menambahkan bilangan tempat duduk penonton. 

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen