Tertarik dengan industri NFT yang kian berkembang di peringkat global, penerjun handalan negara, Dato’ Pandelela Rinong tampil mengumumkan koleksi NFT eksklusifnya yang berjudul ‘P.ZERO1’.
Satu-satunya koleksi tersebut tersedia untuk lelongan menerusi pasaran NFT digital, OpenSea dan para peminat boleh membuat bidaan untuk memiliki koleksi ini bermula saat ini sehingga 31 Ogos nanti.
Pembida tertinggi bukan sahaja dapat menjadi pemilik tunggal koleksi ini bahkan turut ditawarkan pengalaman peribadi tidak ternilai dengan Pandelela. Selain itu, cetakan berbingkai NFT tersebut akan dihantar sendiri oleh atlet berusia 29 tahun ini.
Difahamkan, Pandelela terdorong untuk mencipta barisan karya seni digitalnya sendiri sebagai ekspresi perjalanan profesional dan peribadinya sebagai seorang atlet.
“Visi saya untuk ‘P.Zero1’ adalah untuk berkongsi sebahagian kisah saya dengan dunia dan memberi penghormatan kepada sukan ini yang telah mengubah hidup saya secara drastik daripada seorang gadis kampung Bidayuh kepada seorang olahragawati yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Pepatah ‘Zero to One’ mencerminkan perjalanan yang telah saya harungi – tentang nasib, ketabahan, kekuatan mental dan dedikasi yang telah membawa saya sejauh ini serta keseluruhan proses mencipta sesuatu yang sangat baharu.
“Ia adalah fasa yang menarik bagi saya dan ia mencabar saya untuk belajar dan mencuba perkara baharu. Seperti kata pepatah – hanya langit sebagai batasan dan mesej saya adalah agar orang ramai sentiasa berusaha untuk membuat penemuan diri dan terus berkembang dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap matlamat mereka.” kata Pandelela.
Untuk makluman, koleksi NFT ‘P.ZERO1’ ini terhasil menerusi syarikat pengurusannya, Knight Communications dengan kerjasama Prime Sports NFT – bahagian NFT di bawah Prime Sports International (PSI).
Sebagai tambahan, Prime Sports NFT merupakan syarikat sama yang bekerjasama dengan bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali menerbitkan koleksi NFT berjudul ‘SEPULUH’ pada Jun lalu.