Artikel

Pengasas Skygear Miliki 5% Saham Kelantan FC Dengan Harga RM3 Juta

Pengasas syarikat pakaian kasual lelaki dan wanita dalam talian, Skygear, Nik Hafiz Naim Nik Hassan disahkan menjadi pemegang sebanyak 5% saham The Red Warriors FC Berhad – syarikat yang memiliki pasukan Kelantan FC.

Nik Hafiz yang juga anak jati Kelantan dan peminat tegar pasukan berkenaan memperolehi pegangan saham itu selepas membayar sebanyak RM3 juta kepada pemiliknya, Norizam Tukiman.

Perkembangan ini diumumkan sendiri oleh Norizam yang terkenal dengan panggilan Zamsaham dalam satu sesi ramah mesra bersama penyokong dan Majlis Menandatangani Pemilikan Saham The Red Warriors FC Berhad, minggu lalu.

Baca: Peminat Tawar Norizam RM3 Juta Untuk Beli 5% Saham Kelantan FC

Pengumuman ini hadir selepas Norizam memaklumkan menerima tawaran daripada seorang peminat tegar skuad The Red Warriors untuk membeli pegangan saham sebanyak 5% itu dengan harga RM3 juta, sekitar pertengahan Ogos lalu.

Hasil daripada memiliki 5% pegangan saham ini, Norizam memaklumkan jenama Skygear akan turut tertera pada jersi Kelantan disamping jenama Zamburger bagi musim hadapan.

Pada masa yang sama, difahamkan, Skygear menjadi salah satu penaja terbesar bagi pasukan ini untuk mengharungi saingan Liga Super 2023 kelak.

Untuk makluman semua, Nik Hafiz menubuhkan Skygear yang berpusat di Setia Alam, Selangor ini pada Februari 2020 apabila pandemik Covid-19 mula merebak.

Syarikat ini juga ditubuhkan untuk membantu individu yang mengalami masalah kewangan ekoran pandemik tersebut selain membuka peluang kepada orang ramai menceburi perniagaan melibatkan pakaian.

Featured Image: TRW Kelantan FC

komen