Badan penganjur bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan menguatkuasakan pindaan Perkara 3.4.9 (ii) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia berkuat kuasa serta merta, semalam.
Difahamkan, ianya dikuatkuasakan serta merta bagi mengelakkan percanggahan antara Perlembagaan Malaysia dan Peraturan Pertandingan MFL.
Selaras dengan pengumuman ini, MFL turut memaklumkan, pemain kelahiran England dan Argentina, Lee Tuck dan Sergio Aguero akan beraksi bersama Sri Pahang sebagai pemain tempatan bermula saingan Piala Malaysia 2022 kelak.
Sebelum ini, Sri Pahang telah cuba mendaftarkan Lee Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan pada jendela perpindahan kedua (28 Mei hingga 24 Jun) baru-baru ini, namun ianya tidak belum diluluskan.
Baca: Pemain Tengah Usia 34 Tahun Kini Menjadi Warganegara Malaysia
Untuk pengetahuan semua, sebelum pindaan ini dibuat, mana-mana pemain yang mendapat kewarganegaraan secara naturalisasi (tiada asal usul / warisan Malaysia) hanya dapat didaftarkan sebagai pemain tempatan selepas lima tahun menjadi warganegara Malaysia.
Sebagai contoh, Lee Tuck yang berusia 34 tahun telah beraksi selama lima tahun berturut-turut di Malaysia dan membolehkannya memohon kerakyatan Malaysia berdasarkan Statut FIFA.
Namun begitu, Lee Tuck yang telah menjadi warganegara Malaysia terpaksa menunggu lima tahun lagi dimana dia berusia 39 tahun pada ketika itu sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia.
Perkara ini berbeza dengan Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula kerana ketiga-tiganya dinaturalisasikan menerusi program naturalisasi kebangsaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Bagaimanapun, pada 17 Ogos 2021 lalu, FAM telah membuat keputusan untuk menghentikan program naturalisasinya itu.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers