Melaka United Belanja RM1 Juta Sebulan – Akan Dikurangkan Serendah RM350,000 Musim Depan
September 26, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan yang disekat daripada beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2022 ekoran masalah tunggakan gaji terhadap pemain dan pegawainya, Melaka United FC berbelanja sebanyak RM1 juta bagi setiap bulan, dedah portal Melaka Hari Ini.

Justeru, bagi mengelakkan berulangnya kemelut gaji, skuad berjulukan Hang Tuah ini akan mengurangkan perbelanjaan bulanannya menjadi sekitar RM350,000 hingga RM400,000 sahaja sebulan pada musim hadapan.

Pada masa yang sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad memaklumkan segala hutang tertunggak dapat dibayar sebelum bermulanya saingan musim 2023 agar Melaka United dapat terus beraksi dalam kancah Liga Malaysia.

“Saya berjanji dengan penyokong walaupun kita terpaksa terima hakikat terlepas Piala Malaysia musim ini berikutan kemelut tunggakan gaji yang berlaku.

“Saya juga akan pastikan pada musim 2023, kita akan menjadi lapan pasukan terbaik dan seterusnya layak secara automatik beraksi dalam Piala Malaysia musim depan.

“Insya-Allah kita masih ada masa untuk selesaikan segala tunggakan gaji, begitu juga dengan tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah lebih RM600,000,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Luar Biasa MUSA, semalam, seperti dilaporkan portal terbabit.

Dalam satu laporan lain oleh Melaka Hari Ini, Nur Azmi turut memaklumkan MUSA akan mengambil alih semula Melaka United daripada syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn Bhd.

Jelasnya, perkara tersebut akan dibincangkan secara terperinci bersama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam masa yang terdekat.

Selepas ini, 60% pegangan saham itu akan dipecahkan kepada empat syarikat swasta yang baharu tanpa melibatkan KenTeam. Manakala baki 40% saham lagi dimiliki oleh MUSA.

Sebagai rekod, KenTeam menjadi pemilik Melaka United selepas memiliki 70% saham selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) sekitar April 2021. 

Featured Image: Melaka United Soccer Association

Komen