Perlumbaan Di India Tambahan Baharu MotoGP Bermula Musim 2023
September 30, 2022 Hafizuddin Omar

India menjadi destinasi baharu bagi perlumbaan Kejuaraan Dunia MotoGP dalam kalendar musim 2023 kelak. Perkara tersebut disahkan menerusi satu pengumuman rasmi pada hari ini.

Perlumbaan di negara berpopulasi 1.4 bilion itu akan berlangsung di Litar Antarabangsa Buddh yang terletak di Uttar Pradesh – selatan New Delhi.

India merupakan salah sebuah pasaran motosikal yang besar di dunia dengan lebih 200 juta motosikal memenuhi jalan rayanya. Dan ini juga menjadi fokus utama pengeluar-pengeluar di paddock MotoGP. Selain itu, penganjuran di India akan mendekatkan lagi sukan permotoran ini dengan peminat di rantau tersebut.

Minggu lalu MotoGP telah memberikan bayangan akan mengadakan perlumbaan di sana selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta melawat India untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) serta bertemu dengan pihak berautoriti dan penganjur acara.

Sebagai tambahan, pengumuman India sebagai destinasi perlumbaan baharu bermula musim hadapan ini juga hadir tiga hari selepas MotoGP mengumumkan penambahan perlumbaan di negara asia tengah, Kazakhstan.

Komen