Kelab bola sepak berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC mengumumkan satu kejutan dengan mengenepikan Dato’ Zainal Abidin Hassan selaku ketua jurulatihnya.
Lebih mengejutkan, makluman mengetepikan Zainal ini hadir dua bulan selepas Penang mengumumkan melanjutkan kontraknya sehingga tahun hadapan bagi mengemudi skuad ini dalam saingan Liga Super 2023.
Baca: Penang Lanjut Kontrak Zainal Sehingga 2023, Akmal Rizal Bimbing Skuad Simpanan B-23
Selari pengumuman terbabit, skuad berjulukan Harimau Kumbang ini memaklumkan melantik Manzoor Azwira sebagai ketua jurulatih sementara (caretaker head coach) bermula dengan menentang Selangor pada Sabtu nanti – perlawanan terakhir Liga Super musim ini.
Ianya sebagai persiapan awal buat Manzoor bagi menghadapi saingan Piala Malaysia kelak.
Difahamkan laluan yang diberikan kepada Manzoor ini juga sebagai sokongan daripada Pengurusan Penang FC untuk melengkapkan Kursus Kejurulatihan Diploma Pro A pada tahun 2023.
Sebagai makluman tambahan, sejak dilantik sebagai ketua jurulatih menggantikan Tomas Trucha bermula awal Jun lalu, Zainal telah mengendalikan 15 perlawanan yang melibatkan saingan Liga Super dan Piala FA.
Dalam 15 perlawanan terbabit, rekod menunjukkan 11 daripadanya berakhir dengan kekalahan, satu keputusan seri dan hanya 3 kemenangan.
Featured Image: Penang Football Club