Artikel

Menteri Minta YADIM, JAWI Sediakan Ruangan Solat & Surau Bergerak Di SNBJ

Ruangan solat serta surau bergerak akan disediakan untuk memudahkan para penyokong beragama islam bersolat yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada hari esok.

Perkara tersebut telah diminta oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Idris Ahmad menerusi agensi di bawah kementeriannya iaitu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Saya juga meminta YADIM di bawah agensi kami untuk menyediakan ruangan solat bagi kemudahan para penonton dan mungkin boleh memberi pendedahan pratikal mudah untuk mengambil wudhu’ yang menyenangkan para penonton untuk solat.”

“Saya juga telah meminta pihak JAWI untuk membawa kemudahan surau bergerak mereka. Jadi, harapan saya semua penonton yang muslim boleh tunai solat dengan tenang.” katanya menerusi satu hantaran di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Untuk makluman semua, sepak mula perlawanan akhir tersebut dijadualkan pada jam 7 malam. Penetapan itu menimbulkan pertikaian orang ramai memandangkan ianya waktu yang sama masuknya waktu Maghrib.

Dalam hantaran yang sama, perkara tersebut turut mendapat perhatian Idris dan memaklumkan telah menghubungi Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Faizal Azumu meminta melewatkan sedikit sepak mula melibatkan Kuala Lumpur City (KL City) dan Al-Seeb.

Ianya bagi memberi ruang kepada para penyokong beragama Islam untuk menunaikan solat Maghrib.

Bagaimanapun, penetapan itu dibuat oleh penganjur iaitu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). 

Dalam satu sidang media pada Rabu lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Samad memaklumkan telah meminta untuk melewatkan waktu sepak mula terbabit namun ditolak oleh pihak AFC atas sebab-sebab tertentu.

Sementara itu, menurut laporan media tempatan, pemain tengah KL City iaitu Akram Mahinan memaklumkan pemain-pemain beragama Islam akan menggunakan sebahagian daripada waktu rehat separuh masa pertama untuk menunaikan solat Maghrib.

Difahamkan, para pemain dan barisan kejurulatihan telah berbincang dan mencapai kata sepakat untuk memberikan kelonggaran tersebut.

Featured Image: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI

komen