Terbuka Perancis: Peng Soon-Yee See Kecundang Lagi Di Pusingan 32
October 26, 2022 Hafizuddin Omar

Saingan Terbuka Perancis yang membuka tirainya semalam menyaksikan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See mengalami kekalahan di peringkat awal, Pusingan 32, sekali lagi.

Pasangan yang menghuni ranking ke-55 dunia ini memulakan saingan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 BWF dengan bertemu beregu ke-17 dunia dari Jepun, Yuki Kaneko dan Misaki Matsutomo.

Dalam pertarungan yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin, Peng Soon-Yee See tumpas secara “straight set” dengan skor 18-21 dan 17-21 dalam tempoh masa yang menghampiri 50 minit permainan.

Untuk makluman semua, ini merupakan kali kedua berturut-turut Peng Soon-Yee See mengalami kekalahan di peringkat awal pertandingan. Minggu lalu, pasangan ini turut mengalami kekalahan di peringkat yang sama dalam saingan Terbuka Denmark.

Sementara itu, disebalik kekalahan Peng Soon-Yee See, empat lagi wakil negara yang beraksi pada hari pembukaan semalam dalam pelbagai kategori berjaya mencatatkan kemenangan sekaligus mara ke Pusingan 16.

Antaranya beregu campuran, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing yang berhasil menundukkan wakil China, Guo Xin Wa-Zhang Shu Xian dan beregu wanita, Pearl Tan-Thinaah Muralitharan menumpaskan wakil Indonesia yang sedang meningkat naik, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva.

Selain itu, dua beregu lelaki iaitu Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut sama meraih keputusan yang positif dengan mengalahkan wakil tuan rumah dan Scotland masing-masing.

Pusingan 32 diteruskan pada hari ini dan seramai lapan lagi wakil negara akan berentap untuk merebut slot ke Pusingan 16.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen