Pada Julai lalu, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) memaklumkan hasratnya untuk melayakkan skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) atau dikenali sebagai Gajah Perang Muda ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris.
Bagi merealisasikan cita-cita tersebut, FAT mengumumkan perlantikan ketua jurulatih baharu yang merupakan seorang jurulatih muda tempatan, Issara Sritaro. Dalam pengumuman yang sama, FAT turut melantik pengurus baharu iaitu Yuthana Yimkarun.
Untuk pengetahuan semua, jurulatih berusia 42 tahun ini pernah membimbing skuad bawah 19 tahun (B-19) Thailand serta menjadi penolong ketua jurulatih skuad senior kebangsaan semasa dipimpin oleh Akira Nishino suatu masa dahulu.
New Head Coach U23 🇹🇭#ช้างศึก #ทีมชาติไทย #TogetherAsOne #Changsuek #บอลไทย #ฟุตบอลไทย pic.twitter.com/mfdy6AvkgQ
— Changsuek – ฟุตบอลทีมชาติไทย (@Changsuek_TH) November 8, 2022
Selain bersama skuad kebangsaan senior mahupun peringkat remaja, Issara pernah mengemudi kelab domestik selaku ketua jurulatih bagi pasukan PT Prachuap.
Tugasan utama yang perlu dipikulnya dalam masa terdekat adalah membimbing skuad B-23 negaranya menghadapi saingan Sukan SEA 2023, Sukan Asia 2022 dan Piala Asia B-23 2024 yang turut berperanan sebagai saingan kelayakan ke Sukan Olimpik.
Untuk makluman, FAT terpaksa melantik ketua jurulatih baharu bagi mengemudi skuad ini setelah ketua jurulatih terdahulu, Worrawoot Srimaka bertindak melepaskan jawatannya.
Sebagai tambahan, pada Julai lalu, FAT turut membentangkan satu pelan khusus bagi memastikan skuad Gajah Perang Mudanya layak ke temasya Sukan Olimpik di Paris itu.
Antaranya, FAT memaklumkan semua kejohanan B-23 yang bermula pada tahun 2022 hingga 2024 akan disertai oleh para pemain yang lahir selepas 1 Januari 2001 sahaja. Ini bermakna FAT tidak akan menyenaraikan pemain lebih umur dalam skuad ini untuk beraksi di temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.
Featured Image: Football Association of Thailand