Artikel

Tiket Perlawanan Menentang Kemboja, Maldives Ditetapkan Pada Harga RM30

Skuad bola sepak senior kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon bakal bertemu Kemboja dan Maldives dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada 9 dan 14 Disember kelak.

Pertembungan menentang kedua-dua pasukan yang menghuni ranking ke-177 dan ke-154 ini diatur sebagai aksi ‘pemanas badan’ sebelum memulakan kempen Piala AFF 2022 pada 21 Disember.

Menurut makluman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tiket bagi bagi kedua-dua perlawanan bertaraf Tier 1 ditetapkan pada harga RM30 dan RM5 bagi penonton dewasa dan kanak-kanak masing-masing.

Baca: Kim Pan-gon – Kemboja, Maldives Lawan Sesuai Untuk Perbaiki Kelemahan Sebelum Piala AFF

Penetapan harga ini dicapai selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-6 bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, baru-baru ini.

Selain berkongsikan mengenai harga tiket, badan induk bola sepak tanah air itu juga berkongsikan kesemua tiket tersebut akan dijual secara atas talian (online) dan diuruskan sepenuhnya oleh Ticket Hotline International Sdn Bhd.

Untuk makluman semua, perlawanan menentang Kemboja akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. 

Manakala bagi perlawanan menentang Maldives, ianya akan diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sebagai tambahan, kedua-dua sepak mula perlawanan terbabit dijadualkan pada jam 9 malam. 

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen