Saingan domestik anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menggunakan bola berjenama antarabangsa yang terkenal dari Jerman, PUMA pada musim hadapan.
Perkara ini bakal menyaksikan saingan Piala Belia (bawah 18 tahun), Piala Presiden (bawah 20 tahun), Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) akan menggunakan bola PUMA Orbita FAM 2.
Perkembangan ini hadir selepas FAM mengumumkan PUMA menerusi Active Sports hadir selaku penaja kepada keempat-empat pertandingan itu, pada hari ini.
Difahamkan, komitmen serta kejayaan FAM dalam melahirkan lebih ramai pemain-pemain muda dan wanita di dalam negara telah menarik PUMA untuk hadir menaja saingan ini.
Baca: Had Umur Piala Presiden, Piala Belia Diturunkan Sebanyak Satu Tahun
Satu majlis pelancaran bola rasmi pertandingan domestik itu turut berlangsung di outlet Active Sports Centre di Seksyen 9, Shah Alam yang disempurnakan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.
Turut sama hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram dan Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta Pengurus Besar Puma Malaysia, Steven Tan, Pengasas Active Sports Centre, Tony Annantbir Singh Chopra dan Pengurus Active Sports Centre, S. Murugeson.
“Di PUMA, kami melihat kolaborasi sebagai peluang keemasan untuk memikat lebih ramai anak muda di Malaysia selain mahu mempromosikan sukan bola sepak dalam kalangan wanita.
“Selain itu, saya berharap kerjasama ini dapat memberikan motivasi yang tinggi kepada pasukan-pasukan bertanding musim hadapan,” ujar Steven.
Featured Image: Football Association of Malaysia