Artikel

Pemilik Kedah Mulakan Langkah Pertama Mengadakan KDA TV

Hubungan para peminat dan penyokong dengan Kedah Darul Aman FC (Kedah) akan lebih dekat selepas ini apabila pemiliknya, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar memulakan langkah pertama untuk mengadakan KDA TV.

Difahamkan, langkah itu dimulakan bersempena dengan perlawanan pramusim yang bakal diharungi skuad berjulukan Sang Kenari itu di Antalya, Turkiye bermula minggu hadapan.

Kedah yang mendapat bimbingan Nafuzi Zain pada ketika ini akan berhadapan dengan dua buah kelab dari Kazakhstan serta satu kelab dari Uzbekistan dan Ukraine masing-masing di sana.

Perkembangan untuk mengadakan KDA TV itu dikongsikannya sendiri menerusi platform laman sosialnya, semalam.

Insya-Allah, KDA FC akan bemula dengan langkah pertama ke arah membina KDA TV sempena perlawanan pramusim di Antalya, Turkiye sepanjang 5-15 Februari 2023.”

“Saya sendiri pun tak sabar nak lihat mimpi KDATV menjadi realiti. Semua yang berlaku atas dunia pada asalnya adalah mustahil sehingga ia dilakukan oleh seseorang atau segolongan manusia.”

“Sejak saya memilki KDA FC, saya mula banyak bermimpi dan berangan-angan. Angan-angan adalah hak setiap manusia untuk melakar dan melukis impiannya di dalam kotak minda atau di awan biru.” tulisnya.

Setakat ini belum dapat dipastikan gambaran keseluruhan KDA TV yang diperkatakan oleh Dr. Mohd Daud tersebut.

Adakah ianya seumpama platform penstriman tersendiri seperti dilakukan oleh Terengganu FC iaitu TFC Play membolehkan para peminat mereka menonton video-video eksklusif dan siaran langsung perlawanan bola sepak? Sama-sama kita nantikan. 

komen