Artikel

Rinani Group Berhad Pegang 51% Saham KL City, KLFA Sebagai Pemilik Bersama

Umum tahu kelab berpangkalan di Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC (KL City) mempunyai pemegang saham baharu iaitu Rinani Group Berhad.

Pengumuman pemegang saham baharu skuad berjulukan The City Boys itu hadir selepas majlis menandatangani satu dokumen antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Pengarah Rinani pada Sabtu lalu.

Terbaru, Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad tampil memperincikan mengenai pemilikan KL City tersebut.

“Saya mengalu-alukan kesediaan Kumpulan Rinani membeli 51 peratus saham KL City FC dan dengan itu menjadi pemilik bersama dengan KLFA. 

“Adalah  diharapkan penyokong-penyokong KL City akan menerima baik perubahan ini, Insya-Allah ia akan membuka zaman baharu bagi KL City dimana semangat daya juang peniaga swasta dan sifat usahawan akan mendorong ke arah kejayaan.” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Pengambilalihan dan pegangan saham majoriti ini sekaligus menjadikan Rinani Group Berhad sebagai pemilik KL City bermula saat ini.

Sementara itu, Pengarah Rinani Group Berhad, Azri Azerai mengalu-alukan kedatangan KL City ke dalam keluarga firma konsultan kewangannya yang turut terdiri daripada empat syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC), Bintai Kinden Corporation Berhad, Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) dan Reneuco Berhad.

Pada masa yang sama, Azri menekankan bahawa KL City yang merupakan sebuah kelab elit akan terus mengetepikan sempadan serta menjadi pasukan profesional yang diuruskan dengan berteraskan ‘keputusan bola sepak’.

“Pengambilalihan kami ke atas KL City adalah sebahagian daripada proses penswastaan ​​mandatori yang dikuatkuasakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ke atas semua kelab bola sepak milik kerajaan ketika bola sepak di negara ini berubah kepada sukan yang dikendalikan secara lebih profesional yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.” jelasnya lagi.

komen