Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Joma Malaysia tampil melancarkan barangan rasmi Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2023 dalam satu majlis yang berlangsung di Wisma FAM, pada hari ini.
Barangan rasmi tersebut berupa jersi keluaran Joma yang hadir dalam dua variasi dengan diletakkan tanda harga RM99. Dimaklumkan jersi terbabit boleh didapati di rangkaian cawangan Sports Direct serta kedai-kedai menjual barang futsal terpilih bermula 18 Februari nanti.
Pelancaran barangan rasmi itu menyaksikan kerjasama antara FAM dan Joma Malaysia yang diangkat menjadi penaja bola rasmi saingan MPFL 2023 diteruskan bagi tahun kelima.
“Kehadiran barisan penaja-penaja di dalam kempen MPFL 2023 dan MFC 2023 adalah amat berharga buat kami di FAM di mana sokongan Joma Malaysia ini merupakan satu peluang keemasan untuk FAM meluaskan lagi jenama MPFL dan MFC di dalam pasaran tempatan terutama sekali di dalam kalangan peminat-peminat muda.”
“Saya berharap komitmen Joma Malaysia ini dapat menjadi inspirasi kepada syarikat-syarikat swasta di luar sana untuk bekerjasama bersama FAM dalam misi membangunkan arena futsal negara,” kata Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Dato’ Sri Shahril.
Dalam majlis yang sama, FAM turut mengumumkan bola Joma FIFA Pro Grafity II menjadi bola rasmi bagi pertandingan Piala Futsal Malaysia (MFC) 2023 yang akan bermula Ogos hingga September sejurus berakhirnya saingan MPFL 2023.
Untuk makluman semua, saingan MPFL 2023 disertai oleh 14 buah pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan B. Ianya bakal membuka tirai pada 18 Februari kelak.
Featured Image: Football Association of Malaysia