Artikel

Harga Pas Bermusim Mampu Milik Selangor FC Diumumkan – RM199 Bagi Kategori Terbuka

 Harga pas bermusim Selangor FC yang mampu milik dengan tawaran akses asas kemasukan ke stadium sepertimana bayangan dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr. Johan Kamal Hamidon diumumkan secara rasmi pada hari ini.

Menerusi makluman di pelbagai platform media sosial milik skuad berjulukan Red Giants terbabit, harga Pas Bermusim bagi kategori Terbuka (dewasa) adalah RM199.

Pembeli pas bermusim ini akan dapat menikmati akses masuk ke stadium untuk semua perlawanan ‘home’ di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia (tidak termasuk perlawanan akhir).

Manakala Pas Bermusim ‘KIDS’ (kanak-kanak berusia 12 tahun & ke bawah sahaja) pula dijual pada harga RM49.

Dua kelebihan diberikan kepada pemegang pas bermusim ini iaitu kemasukan ke dalam stadium melalui pintu khas sekaligus mengelakkan daripada beratur panjang serta keutamaan untuk membeli tiket perlawanan akhir.

Satu lagi tawaran oleh Selangor adalah Pas Bermusim Grandstand yang diletakkan tanda harga RM299 untuk dewasa dan juga kanak-kanan.

Pas ini memberikan para pemegangnya akses untuk menonton semua perlawanan ‘home’ bagi perlawanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dari kawasan tempat duduk grandstand disamping mendapat snek atau minuman percuma. Keutamaan untuk membeli tiket perlawanan akhir turut diberikan.

Untuk makluman, Dr. Johan ketika ditemui pada penghujung bulan lalu menyatakan pas bermusim dengan tawaran asas yang memfokuskan kemasukan ke stadium sahaja adalah satu strategi yang baik daripada pihaknya untuk menawarkan harga mampu milik kepada para penyokong.

Sebagai tambahan, pas bermusim ini dikhususkan untuk pemegang Red Giants Team Card (RGTC) sahaja dan pendaftaran bagi pas bermusim ini dibuka bermula hari ini sehingga 6 Mac 2023.

komen