Kerjasama antara Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama platform “fans engagement” dan ganjaran antarabangsa, Socios.com yang diumumkan September tahun lalu menjanjikan para penyokong dan peminat skuad berjulukan Harimau Selatan ini membuat undian dalam sesuatu keputusan yang mahu dilakukan oleh kelab.
Perkara berkenaan nampaknya dikotakan oleh JDT buat julung kalinya dengan membuka satu undian di platform berkenaan yang membolehkan para penyokong dan peminat menentukan nama yang akan diletakkan di jersi penyerangnya, Arif Aiman bagi musim 2023.
Undian tersebut memberikan tiga pilihan nama kepada para penyokong dan peminat iaitu ARiF A., ARiF atau ARiF AiMAN. Tempoh masa yang diberikan untuk melakukan undian terbabit berlangsung selama dua hari dengan bermula 20hb hingga 22hb Februari.
Keputusan akhir menunjukkan nama ARiF mendapat undian tertinggi dengan 38.73% diikuti rapat dengan ARiF AiMAN sebanyak 36.35% dan terakhir ARiF A. sebanyak 24.92%.
Susulan keluarnya keputusan terbabit, pihak kelab menerusi satu kenyataan berkongsikan keterujaan atas sambutan yang diberikan terhadap undian tersebut sambil memaklumkan pemain berusia 20 tahun itu akan menggunakan nama ARiF pada belakang jersinya.
Untuk makluman semua, sebelum berlangsungnya undian ini di platform Socios.com, Arif telah pun memberi persetujuan untuk mengikut apa sahaja keputusan penyokong berdasarkan keputusan undian terbabit.
Difahamkan ini merupakan sebahagian apa yang akan datang dengan $JDT Fan Token menerusi platform Socios.com. Pelancaran $JDT Fan Token itu akan dimaklumkan secara lanjut oleh pihak kelab kelak.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers