Kuching City FC mengambil langkah drastik menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) dengan membawa masuk tiga muka baharu iaitu Bruno Araujo, Dechi Marcel dan Pedro Henrique.
Pengumuman tersebut hadir menerusi perkongsian di media sosial kelab secara berasingan seolah-olah memberi nafas baharu buat skuad kendalian Irfan Bakti yang kini berada di tangga ke-12 liga.
Sebelum ini, jurulatih veteran berusia 72 tahun itu berang dengan prestasi yang ditunjukkan pemain import mereka terutamanya penyerang utama, Abu Kamara selepas tidak menunjukkan persembahan yang memberangsangkan.
https://twitter.com/OfficialKCFC/status/1669266433036132352?s=20
Bruno Araujo dan Pedro Henrique merupakan rakan sepasukan di Persikabo 1973, kelab yang beraksi dalam Liga 1 Indonesia. Dechi Marcel pula ‘berehat’ panjang tanpa sebarang kelab selepas dilepaskan Kedah Darul Aman FC (Kedah).
Selain Bruno, Pedro dan Dechi sudah arif dengan tahap bola sepak tertinggi di Malaysia. Penyerang Timor Leste berdarah Brazil itu pernah menyarung jersi PJ City sebelum beraksi bersama Sri Pahang FC.
Dechi Marcel pula pernah mewakili beberapa kelab di Malaysia sejak berhijrah ke Malaysia pada 2018 untuk menyertai UiTM FC di Liga Perdana sebelum menyertai Terengganu dan Kedah bagi musim 2021 dan 2022 masing-masing.
Untuk makluman, ketiga-tiga pemain tersebut boleh didaftarkan pada jendela perpindahan kedua Liga-M yang bermula dari 5 Julai 2023 (Rabu) sehingga 1 Ogos 2023 (Selasa).
Featured Image: Kuching City FC