Szoboszlai Teruskan Legasi No.8 Gerrard, Keita
July 3, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pemain terbaharu Liverpool, Dominik Szoboszlai mengesahkan dirinya bakal menyarung jersi bernombor lapan bagi musim 2023-24 sekaligus menjadi penyambung legasi yang ditinggalkan legenda mereka, Steven Gerrard. 

Perkara tersebut didedahkan menerusi kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi skuad berjulukan The Reds dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial kelab. 

Nombor jersi tersebut juga pernah dipakai seorang lagi bekas pemain RB Leipzig, Naby Keita yang kini telah meninggalkan Liverpool bagi menyertai kelab Bundesliga, Werder Bremen secara percuma. 

Untuk makluman, Szoboszlai sah menyertai The Reds daripada RB Leipzig dan menjadi pemain kedua yang ditandatangani pasukan tersebut pada jendela perpindahan kali ini selepas Alexis Mac Allister dari Brighton & Hove Albion. 

Bersama RB Leipzig, pemain tengah berusia 23 tahun itu menjaringkan 20 gol serta mencatatkan 22 bantuan gol (assists) selepas beraksi sebanyak 91 perlawanan buat kelab tersebut.  

Kapten Hungary itu turut membantu kelab tersebut menjuarai DFB Pokal bagi dua musim berturut-turut pada 2021-22 dan 2022-23. Bagaimanapun, situasi semasa Szoboszlai untuk beraksi bersama The Reds masih lagi tertakluk kepada status permit kerja miliknya.

Untuk rekod, Naby Keita yang menyertai Liverpool pada 2018 menjadi pemain pertama yang kembali menyarung jersi bernombor lapan selepas Steven Gerrard menggantung butnya pada penghujung musim 2014-15.

Nombor tersebut menjadi sangat ikonik buat legenda The Reds itu Liverpool telah menjuarai Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Istanbul dan beliau menjaringkan gol pertama Liverpool pada musim pertama Gerrard memakai jersi bernombor lapan yang membawa kepada kemenangan dramatik buat The Reds.

Featured Image: Liverpool FC

Komen