Legenda Arsenal Kemudi Kelab ‘Adik’ Kepada Chelsea
Meor Mohamad Amirul
Kelab Ligue 1, RC Strasbourg milik konsortium yang diketuai Todd Boehly mengumumkan perlantikan legenda Arsenal, Patrick Vieira selaku pengurus baharu mereka dengan kontrak selama tiga tahun, awal pagi tadi.
Pengumuman itu hadir menerusi kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi kelab dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial skuad berjulukan Les Bleu et Blanc itu.
Memetik kenyataan tersebut, Presiden RC Strasbourg, Marc Keller berasa amat gembira dengan kehadiran Vieira dan percaya dengan kemampuan pengendali berusia 47 tahun itu.
“Saya mengalu-alukan (kehadiran) Patrick Vieira, yang saya kenali sejak di pasukan kebangsaan Perancis; Saya berasa sangat gembira dapat mengalu-alukan kehadirannya di Strasbourg,”
🤝 𝐏𝐚𝐭𝐫𝐢𝐜𝐤 𝐕𝐢𝐞𝐢𝐫𝐚 𝐧𝐨𝐦𝐦𝐞́ 𝐞𝐧𝐭𝐫𝐚𝐢̂𝐧𝐞𝐮𝐫 𝐝𝐮 𝐑𝐚𝐜𝐢𝐧𝐠 𝐂𝐥𝐮𝐛 𝐝𝐞 𝐒𝐭𝐫𝐚𝐬𝐛𝐨𝐮𝐫𝐠 𝐀𝐥𝐬𝐚𝐜𝐞
Patrick Vieira (47 ans) s’est engagé aujourd’hui pour trois ans en faveur du Racing Club de Strasbourg Alsace, dont il devient l’entraîneur.
« Je… pic.twitter.com/JH75bkXpKA
— Racing Club de Strasbourg Alsace (@RCSA) July 2, 2023
“Dia menepati kriteria yang kami cari; seorang pengendali yang mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa, dan yang juga mempunyai pengetahuan yang baik tentang Ligue 1 dan pemain muda di dalam liga.” ujar Keller dalam kenyataan yang sama.
Pada Mac lalu, Vieira disahkan berpisah dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace selepas skuad berjulukan The Eagles itu gagal mencapai sebarang kemenangan dalam 11 perlawanan berturut-turut.
Kehadirannya di Strasbourg dilihat sebagai kembalinya seorang legenda ke tanah air selepas pernah membimbing OGC Nice dalam saingan Ligue 1 selama tiga tahun sehingga Disember 2021.
Untuk makluman, konsortium yang membeli Chelsea pada tahun lalu, BlueCo telah membeli saham majoriti RC Strasbourg secara tidak langsungnya menjadikan kelab yang bersempadan dengan Jerman itu sebagai adik-beradik dengan The Blues.
Suatu masa dahulu, RC Strasbourg merupakan kelab yang merekrut legenda Kedah dan Malaysia, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjadi sebahagian daripada pemain akademi mereka sebelum penyerang tersebut kembali ke pangkuan skuad Sang Kenari.
Featured Image: Racing Club de Strasbourg Alsace