“Marhaba, ana Steven Gerrard, ana Al Ettifaqi” – Ucap Gerrard Selepas Sertai Kelab Arab Saudi
July 4, 2023 Meor Mohamad Amirul

Selepas Robbie Fowler, kini giliran seorang lagi legenda Liverpool, Steven Gerrard mengesahkan diri berhijrah ke Arab Saudi dengan mengendalikan kelab saingan Liga Professional Arab Saudi iaitu Al Ettifaq . 

Kehadiran Gerrard di bumi Dammam itu diumumkan menerusi pelbagai platform media sosial skuad berjulukan Faris Ad-Dahna termasuk sebuah video pendek bertempoh 11 saat yang menampilkan bekas pemain tengah skuad kebangsaan England itu berbahasa Arab. 

Marhaba, ana Steven Gerrard. Ana Al Ettifaqi. See you soon. (Selamat sejahtera, saya Steven Gerrard. Saya (kini sebahagian daripada) Ettifaq. Jumpa anda nanti.)” ujar Gerrard di dalam video tersebut.

Karier kejurulatihan bekas pemenang Liga Juara-Juara UEFA itu bermula di akademi Liverpool sebelum mencipta namanya bersama kelab Scotland, Rangers apabila membantu mereka memenangi Scottish Premiership pada musim 2020-21. 

Gerrard mengambil keputusan untuk kembali ke England dan melatih Aston Villa. Akan tetapi jodohnya bersama skuad The Lions hanya bertahan sehingga awal Oktober 2021 setelah mempamerkan aksi kurang memberangsangkan dalam saingan liga.   

Untuk makluman, Gerrard menjadi jurulatih ketiga dalam saingan Liga Professional Arab Saudi pada musim hadapan yang pernah mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris selepas Nuno Espirito dan Slaven Bilic.

Bekas rakan sepasukannya yang juga penyerang legenda England, Robbie Fowler pula disahkan menjadi pengendali kelab liga divisyen kedua di Arab Saudi, Al-Qadsiah.

Featured Image: Ettifaq Club

Komen