Khidmat Azam Azmi Murad yang beraksi di posisi pertahanan kanan Terengganu FC serta skuad kebangsaan dikhabarkan menjadi sasaran oleh sebuah pasukan elit Liga Malaysia, dedah wartawan Astro Arena, Zulhelimi Zainal Azam menerusi laman sosialnya.
Pendedahan itu pantas mendapat perhatian para peminat bola sepak tempatan khususnya pendokong pasukan berpangkalan di pantai timur terbabit.
Bagaimanapun, ejen kepada pemain berusia 22 tahun terbabit yang dikenali sebagai Joe Berbatov pantas memaklumkan Azam belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana kelab setakat ini.
Baca: Bek Kanan Muda Terengganu Lanjut Kontrak Sehingga Tahun 2025
Sebagai tambahan, pada Februari lalu, Joe Berbatov turut mengesahkan Azam telah menandatangani kontrak lanjutan dengan Terengganu FC sehingga tahun 2025.
Saingan musim ini menyaksikan Azam memainkan peranan penting buat skuad Terengganu yang kini dibimbing oleh jurulatih dari Croatia, Tomislav Steinbruckner. Setakat ini, Azam telah tampil sebanyak 18 kali dalam saingan Liga Super dan Piala FA disamping melakukan tiga bantuan gol dan satu gol.
Featured Image: Terengganu FC