Kisah disebalik tabir melibatkan skuad skuad kebangsaan iaitu Harimau Malaya selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatannya selaku ketua jurulatih pada Januari 2022 dan permulaan era Kim Pan-gon akan ke layar perak menerusi filem berjudul Harimau Malaya: The Untold Journey.
Filem ini akan diarahkan oleh Dato’ Afdlin Shauki disamping Nashrul Nasir selaku penerbit eksekutif menerusi 4ward Pictures dengan membawakan empat perspektif naratif.
Pertamanya, ia akan memaparkan sudut pandang daripada badan pengurusan aitu FAM. Keduanya, filem berdurasi 120 minit ini akan membawakan sudut pandang daripada ketua jurulatih.
Baca: Adrian Teh Filemkan Kejayaan Cheah Liek Hou Rangkul Pingat Emas Paralimpik 2020
Ketiganya, filem ini akan menampilkan perspektif daripada para pemain Harimau Malaya itu sendiri. Akhir sekali, tidak ketinggalan ia akan melibatkan tiga rakan dari latar belakang kumpulan ultras yang telah disenaraihitam daripada menghadiri perlawanan bola sepak di stadium selama setahun.
Keempat-empat perspektif ini akan bertembung ketika Harimau Malaya berjaya menumpaskan Bangladesh pada perlawanan akhir kelayakan Piala Asia 2023 sekaligus melayakkan diri secara merit ke kancah bola sepak terunggul benua Asia selepas 42 tahun.
Sementara itu, filem ini akan dibarisi pelakon-pelakon terkenal tanah air seperti Sophia Albarakbah, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Kavin Jay, Fazura, Namron, Bell Ngasri, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.
Sebagai tambahan, filem bergenre drama, sukan dan sejarah ini akan menjalani penggambaran selama 35 hari di sekitar Lembah Klang. Apabila selesai kelak, ianya akan ditayangkan di pawagam berhampiran anda kelak.
Featured Image: Football Association of Malaysia