Artikel

RTM Siar Terbuka Malaysia 2024 Secara Langsung – Saluran Sukan RTM & TV Okey

Para peminat badminton tanah air yang tidak berkesempatan untuk ke Axiata Arena bagi menyaksikan kejohanan Terbuka Malaysia 2024 boleh menontonnya menerusi saluran Sukan RTM dan TV Okey.

Perkembangan ini hadir setelah stesen televisyen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengesahkan akan menyiarkan secara langsung siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 yang memberikan hadiah terkumpul sebanyak AS$1.3 juta itu.

“Bersorak bersama RTM! Berikan sokongan padu kepada pemain Malaysia!”

“Kami berbangga membawakan kepada anda siaran secara langsung kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2024 dari 9 hingga 14 Januari di RTM.” umum RTM pada hari ini.

Baca: RTM Tayang Aksi Malaysia Secara Langsung, Tak ‘Delay’ Di Saluran Okey & Sukan RTM

Bagaimanapun, RTM tidak memaklumkan secara khusus gelanggang manakah akan disiarkan secara langsung oleh pihaknya terutamanya pada peringkat pusingan 32, pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir.

Antara pemain negara yang menyertai Terbuka Malaysia pada kali ini ialah Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Goh Jin Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin. 

Senarai itu bersambung dengan penyertaan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, Anna Cheong-Teoh Mei Xing, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See.

Selain dapat ditonton menerusi televisyen di saluran Sukan RTM, kejohanan Terbuka Malaysia ini juga dapat disaksikan menerusi penstriman langsung secara percuma di aplikasi RTMKlik.

komen