Harimau Malaya Ikat Syria Yang Diperkuatkan 4 Pemain Amerika Selatan
January 9, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon berhasil mengikat Syria yang diperkuatkan dengan empat pemain kelahiran benua amerika selatan dalam satu perlawanan persahabatan tertutup di Qatar, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Dalam perlawanan yang berfungsi sebagai aksi pemanas badan menjelang saingan Piala Asia 2023 itu, Harimau Malaya terlebih dahulu dihadapan menerusi jaringan Arif Aiman pada minit ke-31.

Namun begitu, Syria bimbingan Hector Cuper, 68 tahun, yang pernah melatih Inter Milan dan skuad kebangsaan Mesir berhasil menyamakan kedudukan menerusi penyerang kelahiran Colombia, Pablo Sabbag yang beraksi dalam kancah bola sepak Peru pada minit ke-70.

Selang empat minit kemudian, pemain tengah kelahiran Argentina, Ibrahim Hesar, 30 tahun, menambah satu lagi jaringan sekaligus meletakkan Syria mendahului ke atas Harimau Malaya dengan kedudukan 2-1 pada ketika itu.

Bagaimanapun, anak-anak buah Pan-gon yang tidak mudah mengalah berhasil mengejar dan menyamakan semula kedudukan menjadi 2-2 apabila pemain tengah kelahiran Brazil, Paulo Josue berhasil meletakkan bola di dalam gawang Syria pada minit ke-78.

Baca: RTM Tayang Aksi Malaysia Secara Langsung, Tak ‘Delay’ Di Saluran Okey & Sukan RTM

Selepas daripada empat jaringan tersebut, tiada sebarang jaringan lagi dijelmakan oleh kedua-dua pasukan sekaligus menutup perlawanan terbabit dengan keputusan 2-2.

Untuk makluman semua, Syria yang berada di kedudukan ke-91 dunia itu turut dibarisi pemain tengah bertahan kelahiran Argentina yang baru sahaja ditandatangani oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Jalil Elias.

Pada masa yang sama, Syria turut memiliki seorang lagi pemain tengah kelahiran Argentina iaitu Ezequiel Ham, 29 tahun, yang kini beraksi bersama Independiente Rivadavia dalam kancah bola sepak negara kelahirannya.

Selain empat pemain Amerika Selatan, Cuper yang pernah mempunyai pengalaman melatih Ronaldo Luis Nazario de Lima dan Mohamed Salah ketika bersama Inter Milan dan Mesir masing-masing turut memperkuatkan Syria dengan beberapa pemain yang beraksi di benua eropah.

Antaranya, Aiham Hanz (BK Hacken, Sweden), Amar Ramadan (Dunajska Streda, Slovakia), Elmar Abraham (Skovde Aik, Sweden), Antonio Yakoub (Gefle IF, Sweden), Ampntoul Rachman Oues (Kallithea, Greece) dan Maksim Sarraf (CSKA Moscow).

Sebagai rekod, ketika Malaysia mengikat Syria 2-2 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di China pada September lalu, skuad kendalian Cuper hanya memanggil Ampntoul Rahman Ouess.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen