Ng Tze Yong Terlepas Terbuka India 2024
January 15, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan badminton lelaki No.2 negara, Ng Tze Yong tidak akan mengambil bahagian dalam saingan Terbuka India 2024 yang berlangsung pada minggu ini iaitu bermula 16hb hingga 21hb Januari.

Pengesahan ketidakterlibatan Tze Yong dalam saingan Jelajah Dunia BWF Super 750 itu dimaklumkan sendiri oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Ianya berikutan Tze Yong disahkan mengalami kecederaan koyak otot di bahagian belakang badannya sewaktu beraksi menentang wakil Jepun, Koki Watanabe pada pusingan 32 dalam saingan Terbuka Malaysia 2024, baru-baru ini.

Baca – Terbuka Malaysia: Sakit Belakang Paksa Tze Yong Hentikan Permainan

Kecederaan itu jugalah yang memaksa Tze Yong untuk memberhentikan permainannya seawal set pertama ketika ketinggalan 8-21 di tangan Koki pada waktu itu.

Bagaimanapun, Rexy belum memutuskan mengenai penyertaan Tze Yong dalam saingan Indonesia Masters 2024 yang akan berlangsung dari 23hb hingga 28hb Januari kelak.

Rexy berpendapat, ianya masih terlalu awal untuk menentukannya dan mahu menumpukan perhatian terhadap rawatan dan perkembangan Tze Yong terlebih dahulu.

Featured Image:  Badminton Association of Malaysia

Komen