Hoki Kelayakan Olimpik: Malaysia Tewas Tipis, Saat Akhir Di Tangan China
January 16, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad hoki senior lelaki kebangsaan memulakan kempen FIH Hoki Kelayakan Olimpik Paris 2024 dengan nota kekalahan di tangan China.

Perlawanan pertama melibatkan Malaysia dalam Kumpulan A berakhir dengan keputusan tewas tipis 2-3 kepada pasukan yang menghuni ranking ke-22 dunia itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Muscat terbabit, Malaysia terlebih dahulu mendahului menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-29.

Namun begitu, China tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit menyamakan kedudukan melalui Lin Changliang pada minit ke-31 sebelum mendahului 2-1 hasil jaringan Chao Jieming selang tiga minit kemudian.

Baca: Senarai 18 Pemain Lelaki, Tarikh Ke Oman & Perlawanan Persahabatan Diumumkan

Skuad negara bimbingan Arul Selvaraj tidak mudah mengalah dan meneruskan asakan sehingga berjaya menyamakan semula kedudukan menjadi 2-2 menerusi Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-47.

Akan tetapi hajat Malaysia untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan seri dan meraih sekurang-kurangnya satu mata berkecai apabila Gao Jiesheng berjaya menyumbat masuk bola di penghujung perlawanan.

Susulan kekalahan ini, Malaysia kini menghuni tangga ketiga Kumpulan A sementara China berada di tangga kedua di bawah Great Britain.

Untuk makluman, Great Britain menerajui Kumpulan A selepas berjaya menamatkan aksi pertamanya menentang Pakistan dengan kemenangan besar 6-1.

Untuk perlawanan seterusnya, Malaysia akan bertemu Great Britain pada 17 Januari dengan perlawanan bermula pada jam 12.45 tengah malam waktu Malaysia.

Sebagai tambahan, hanya juara dan naib juara kumpulan sahaja akan layak ke peringkat separuh akhir sementara hanya juara, naib juara dan penghuni tempat ketiga kejohanan kelayakan sahaja akan meraih slot ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris.

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation

Komen