Ranking BWF: Zii Jia Masuki Kelompok 10 Terbaik
January 16, 2024 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara iaitu Lee Zii Jia kembali menyertai kelompok 10 pemain terbaik dunia biarpun tumpas seawal pusingan 32 dalam saingan Terbuka Malaysia 2024, baru-baru ini.

Kemasukan semula pemain berusia 25 tahun kelahiran Alor Setar, Kedah ke dalam kelompok itu diperlihatkan setelah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini Ranking Dunia pada hari ini.

Kemaskini itu menyaksikan Zii Jia mengumpul 68,226 mata secara keseluruhan daripada sepuluh kejohanan terbaiknya dalam tempoh 52 minggu yang lalu sekaligus mencetuskan peningkatan satu anak tangga berbanding minggu lalu.

Baca: Lee Zii Jia Sahut Panggilan BAM Sertai Skuad BATC 2024

Untuk makluman, penyertaannya setakat pusingan 32 di Terbuka Malaysia sebelum ditumpaskan pemain China, Lu Guang Zu memberikannya tambahan 3,000 mata.

Sebagai rekod, kali terakhir Zii Jia dilihat menghuni posisi kesepuluh dalam Ranking Dunia adalah ketika kemaskini sekitar pertengahan Disember tahun lalu.

Zii Jia berpeluang untuk memperbaiki lagi kedudukannya dalam Ranking Dunia sekiranya mara jauh dalam saingan Terbuka India 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 750 – yang disertainya pada minggu ini.

Undian yang telah dilakukan menyaksikan Zii Jia akan memulakan kempen Terbuka India dengan menentang pemain Kanada yang berada di ranking ke-24, Brian Yang pada pusingan 32.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen